
Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) menggesa kerajaan mengkaji semula perundangan berkaitan pinjaman bagi menangani isu kebankrapan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Presidennya, Rosland Mohd Arif berkata, ada jalan penyelesaian yang dilihat pilihan lebih baik boleh dilakukan peminjam mahupun institusi kewangan dalam menyelesaikan masalah tunggakan pinjaman.
Biasa kita dengar peminjam yang bermasalah akan melarikan diri termasuk menyembunyikan kenderaan, menukar nombor telefon dan sebagainya bagi mengelak dikesan bank.
“Namun, apa yang menjadi masalah di sini apabila bank enggan bekerjasama atau bertolak ansur dengan peminjam dan mahu ansuran bulanan tetap dijelaskan walaupun sedar akan kekangan atau masalah si peminjam. Malah ada sebahagiannya bertindak mengemukakan pengisytiharan muflis yang dilihat bertujuan memudahkan urusan lelongan asset cagaran selepas si peminjam hilang kelayakan memiliki harta.
“Di sinilah puncanya mengapa kes muflis semakin meningkat dari tahun ke tahun di negara kita dan ia bukanlah satu perkembangan yang baik kepada ekonomi negara. Lebih-lebih lagi sebahagian besar golongan muflis ini masih muda dan aktif bekerja,” katanya kepada Harian Metro, di sini.
Rosland berkata, terdapat beberapa bank yang mendapatkan perintah mahkamah untuk menjual pinjaman dan cagaran kepada pihak ketiga jika berlaku tunggakan ansuran dalam tempoh yang lama.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana urusan pinjaman dilakukan antara bank dan peminjam. Sepatutnya perkara ini tidak boleh diluluskan mahkamah walaupun pihak bank mempunyai hak untuk bertindak demikian. Kita perlu mempersoalkan siapa dan apa kepentingan pihak ketiga ini? Biasanya mereka akan bertindak lebih kejam daripada bank iaitu mengambil tindakan muflis dengan kadar segera selain rakus untuk menjual asset si peminjam.
“Malah, kebanyakan asset seperti tanah dan rumah akan dijual kurang daripada harga pasaran dan ini melanggar perundangan di negara kita. Disebabkan ilmu yang cetek dalam menentukan hak, biasanya si peminjam tiada pilihan lain dan terpaksa menerima keputusan kejam pihak terbabit. Malah, mereka juga terpaksa menanggung baki hutang yang tinggal sekiranya nilai asset yang dijual tidak dapat menampung jumlah pinjaman sebenar,” katanya.
Menurut Rosland, 4PM memainkan peranan dalam membantu orang ramai yang dibelenggu masalah urusan pembayaran pinjaman berat sebelah.
“Bukan sekadar khidmat nasihat, tetapi kami bersedia menjadi orang tengah antara peminjam dengan bank bagi memcari jalan penyelesaian terbaik dan situasi menang-menang tanpa perlu membabitkan tindakan kebankrapan.
“Melalui perbincangan dan menjadi orang tengah, 4PM berjaya menangguhkan beberapa kali lelongan awam di saat akhir termasuk pengisytiharan muflis ke atas peminjam,” katanya
Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan keluar daripada muflis boleh melayari laman web 4PM www.ppppm.com.my atau facebookhttps://www.facebook.com/tuan.rosland
Tiada ulasan:
Catat Ulasan